Pengusaha bas sekolah tersepit, GPBSM minta syarikat kredit beri moratorium

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

GABUNGAN Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) merayu kerajaan dapat membantu mereka dengan meminta syarikat kredit memberikan moratorium kepada peminjam yang membeli bas.

Ini kerana khidmat syarikat kredit untuk pinjaman itu tidak membantu langsung peminjam dalam penyusunan semula jadual pembayaran balik.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata sekiranya perkara itu tidak diambil berat dijangka 80 peratus pengusaha bas sekolah di seluruh negara akan gulung tikar pada tahun hadapan.

Katanya, kesan pandemik Covid-19 sehingga pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sekolah ditutup menjadikan pengusaha bas sekolah hilang mata pencarian.

“Kita sudah mengalami kerugian ketika PKP mula-mula diperkenalkan. Apabila sekolah mula dibuka, kita baru nak ‘bernafas’ tiba-tiba ia ditutup semula.

“Benar aktiviti ekonomi dibenarkan ketika PKPB ini tetapi bagaimana dengan nasib kami yang bergantung pada sekolah?

“Kami berharap kerajaan dapat membantu dari sudut moratorium dengan syarikat kredit ini. Ini salah satu cara untuk kami dapat mengurangkan sedikit kerugian,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Mohd Rofik berkata, pengusaha bas sekolah kerugian RM3,000 hingga RM5,000 sebulan apabila sekolah ditutup merangkumi bayaran pinjaman dan penyelenggaraan.

“Kita khuatir apabila lama tidak ‘berjalan’ akan mengalami kerosakan lain dan menambah lagi kerugian,” katanya.

Beliau juga merayu kepada ibu bapa yang masih belum menjelaskan bayaran penuh tambang untuk segera membayarnya kerana ada segelintir ibu bapa hanya membuat bayaran selepas dua hingga tiga bulan.

“Jika nasib kami diabaikan mungkin lebih ramai penguasaha bas gulung tikar. Sebelum PKP, kami mempunyai lebih 20,000 kini hanya tinggal sekitar 12,000 sahaja pengusaha bas.

“Jika keadaan berterusan, mungkin akan tinggal suku sahaja. Ketika ini mungkin belum nampak masalah… tunggu apabila sekolah dibuka, mungkin ramai mula sedar apabila mencari bas sekolah,” katanya. – Malaysiapost