Pemberian ‘one-off’ wajar diperluas untuk semua ‘frontliners’ – Cuepacs

0
1

Fitri Nizam

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya pemberian one-off sebanyak RM300 diberikan kepada petugas barisan hadapan bukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presidennya, Adnan Mat, berkata peranan petugas barisan hadapan cukup besar dalam menyekat penularan Covid-19 terutama dalam aspek sokongan, keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

Justeru, katanya, Cuepacs menggesa supaya kerajaan dapat memperluaskan pemberian one-off itu kepada lebih ramai petugas KKM serta daripada agensi lain.

“Lebih tujuh bulan kesemua petugas barisan hadapan ini berjuang tangani Covid-19 sehingga ramai dalam kalangan mereka sendiri dijangkiti virus tersebut.

“Sebaik sahaja sembuh daripada Covid-19, mereka ini telah ditugaskan semula sebagai petugas barisan hadapan. Apatah lagi ketika ini peningkatan kes mendadak dengan kewujudan kluster-kluster baharu setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peranan petugas barisan hadapan ketika ini lebih sukar untuk bendung Covid-19 kerana tiada sekatan sepenuhnya seperti dahulu apabila kerajaan terpaksa seimbangkan kepentingan ekonomi dan keselamatan rakyat.

Katanya, selain daripada tugas hakiki masing-masing, pertambahan tugas untuk bendung Covid-19 sudah tentu membebankan emosi dan fizikal petugas barisan hadapan.

“Walaupun ikrar tugas mereka adalah Berkhidmat Untuk Negara, kerajaan wajar memberi pertimbangan atas penat lelah dan pengorbanan kesemua petugas barisan hadapan,” katanya.

Pada masa, beliau berkata, Cuepacs amat berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian one-off sebanyak RM500 kepada petugas barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan kira-kira 100,000 petugas kesihatan.

“Ia merupakan satu penghargaan kepada pengorbanan petugas KKM yang kita sedia maklum terlibat secara langsung di barisan hadapan.

“Bagaimanapun Cuepacs merasakan pemberian one-off itu wajar diperluaskan kepada lebih ramai petugas barisan hadapan di KKM sendiri serta beberapa jabatan lain seperti PDRM, ATM, bomba, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang ditakrifkan sebagai petugas barisan hadapan,” katanya. -Malaysiapost