KERAJAAN diminta membantu meningkatkan kembali industri pelancongan di Langkawi yang terjejas teruk sejak Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Mohd Firdaus Ahmad, berkata sektor pelancongan Langkawi memerlukan bantuan khusus kerana pulau peranginan itu mampu memberi sumbangan kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, kehadiran pelancong yang semakin kurang menyebabkan majoriti penduduk yang bergantung kepada aktiviti pelancongan hilang sumber pendapatan.
“Pelancongan di Langkawi memang terkesan teruk. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita nampak ada sedikit perubahan, namun apabila dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jumlah pelancong kembali menurun hingga sekarang.
“Kita difahamkan ada beberapa hotel yang terpaksa menutup operasi, tetapi kita tidak pasti pemilik tutup sementara atau selamanya atau tutup untuk naik taraf,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mohd Firdaus berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha mempromosi Langkawi kepada penduduk negeri lain dan kesan positif dapat dilihat namun disebabkan PKPB, keadaan kembali tidak menentu.
Sepanjang tempoh PKPB bermula hari ini hingga 6 Disember, kerajaan negeri memutuskan membenarkan beberapa aktiviti sektor pelancongan, seni dan budaya, belia dan sukan.
“Bagi aktiviti pelancongan, ia dibenarkan di dalam kawasan PKPB iaitu di daerah sendiri, namun aktiviti berkelah tidak dibenarkan. Contohnya penduduk Kota Setar boleh berkunjung ke Gunung Keriang atau Muzium Padi, tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan boleh dijalankan tidak melebihi 10 orang, namun aktiviti di padang bola sepak komersial, gelanggang futsal, badminton dan gimnasium hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam,” katanya. -Malaysiapost
Foto Kredit: langkawi-info.com

