DATUK Seri Najib Razak hari ini menjelaskan mengapa Barisan Nasional (BN) mengkritik Belanjawan 2021 walaupun ia sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Perdana Menteri itu berkata ini kerana tiada seorang pun dari BN, PAS atau mana-mana parti lain yang mempunyai peranan berhubung hal ekonomi dan kewangan dalam kerajaan PN.
“Sebab itu, BN memainkan peranan kita melalui perbahasan dalam Dewan Rakyat untuk memastikan bajet negara adalah selari dengan kehendak dan keperluan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Najib turut berkongsi pautan dari laman web Pejabat Perdana Menteri yang memaparkan komposisi ahli-ahli Majlis Tindakan Ekonomi kerajaan PN.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, Najib mempersoalkan kenapa kerajaan tidak membenarkan pelanjutan moratorium pinjaman automatik.
“Sebab apa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) boleh dilanjutkan berkali-kali tapi moratorium pinjaman automatik tidak boleh dilanjutkan secara pukal sekali.
“Terutamanya untuk peminjam M40 sedangkan bank-masih catat keuntungan?
“Kerajaan kena fikir perkara ini. BN akan terus lawan sampai dapat,” katanya. – Malaysiapost

