Safawi hanya panaskan bangku simpanan

0
3

HARAPAN peminat Malaysia untuk melihat Safawi Rasid beraksi menentang Porto awal pagi tadi tidak kesampaian apabila pemain itu hanya memanaskan bangku simpanan.

Meskipun disenarai kali pertama di bangku simpanan Portimonense SC, rezeki belum berpihak kepada pemain sayap Harimau Malaya itu untuk meraih penampilan sulung bersama skuad utama di bumi Eropah.

Walau tidak diturunkan, ia perkembangan positif buat Safawi untuk bekerja lebih keras bagi mengisi peluang menjejakkan kaki ke padang bersama skuad utama.

Memetik laporan Berita Harian, pada aksi di Estadio de Dragao itu, Porto yang juga penyandang juara Primeira Liga membuktikan mereka bukanlah tandingan Portimonense SC apabila memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1.

Bagaimanapun, Portimonense SC terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila mendahului seawal minit ke-14 menerusi penyudah Beto.

Namun jaringan Chanel Mbemba, Mehdi Taremi dan Sergio Oliveira memastikan tuan rumah berjaya menambah tiga lagi mata.

Kekalahan itu menyaksikan Portimonense SC yang dibimbing Paulo Sergio menghuni tangga tercorot Primeira Liga apabila sekadar meraih satu kemenangan dan satu seri daripada tujuh perlawanan untuk menghimpun empat mata. – Malaysiapost