Macau Scam: Kontraktor ‘gigit jari’ RM107,000 lesap

0
2

SEORANG kontraktor kerugian lebih RM107,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Bank Negara dan pegawai polis, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa berumur 45 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mr Lai’, kononnya pegawai Bank Negara menerusi nombor 03-94165679, ketika berada di rumah di Kampung Baharu Chenderoh.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu mangsa terdapat transaksi pembelian barangan di sebuah platform beli-belah dalam talian menggunakan kad kredit Ambank atas namanya berjumlah RM11,188.35, namun dinafikan mangsa.

“Selepas itu, panggilan disambungkan konon kepada bahagian pengubahan wang haram di Bukit Aman dan mangsa bercakap dengan wanita bernama Than Kok Hwa yang memberitahu akaun kad kreditnya telah disalah guna dan dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Mangsa memberitahu dia mempunyai dua akaun iaitu Ambank dan Hong Leong Bank sebelum diarah ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kedua-dua bank,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ahmad Adnan berkata, pengadu telah pergi ke ATM dan apabila selesai mengikuti arahan wanita itu, mangsa mendapati wang daripada akaun Hong Leong Bank dan Ambank telah berkurangan RM107,996.95.

Katanya pengadu kemudian berasa tertipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah pada jam 6.15 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost