Polis Kedah tutup pintu sempadan negeri tengah malam ini

0
3

POLIS Kedah akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di 44 lokasi di negeri itu termasuk lokasi bersempadan dengan Perlis, Perak dan Pulau Pinang mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penugasan SJR dilakukan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 9 November yang membabitkan kira-kira 900 anggota dari Kontinjen Kedah.

Menurut beliau, penambahan SJR itu akan dilakukan bergantung kepada keadaan.

“Orang ramai tidak boleh merentas daerah tanpa kebenaran dan sekiranya mempunyai kecemasan atau kes lain boleh mendapatkan kebenaran di balai polis berhampiran.

“Selain itu, kita juga mewujudkan Pasukan Pemantau Covid-19 dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Pasukan ini akan melakukan pemantauan di seluruh kawasan di negeri ini. Jika didapati ada yang sengaja melanggar Prosedur Standard Operasi (SOP), tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Hasanudin, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya ada individu yang sengaja melanggar syarat SOP kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah bermula sejak Mac lalu sehingga PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

“Kita akan ambil tindakan mengikut Akta 342 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.

“Jika masih ingkar lagi, kita boleh mengambil tindakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, setakat ini pihaknya mendapat bantuan ATM dari kem tentera di negeri itu tanpa perlu mendapatkan bantuan dari negeri lain.

Justeru, beliau meminta golongan peniaga mematuhi arahan ditetapkan dan untuk sementara waktu ini perlu menjalankan perniagaan secara penghantaran dari rumah ke rumah (COD) atau pun jualan bungkusan.

“Nak makan di kedai pun, boleh, hanya dua orang sahaja dibenarkan untuk satu meja ataupun contohnya hanya 20 pelanggan dihadkan dalam kedai berkenaan.

“Kedai runcit atau pasar raya juga dinasihatkan menyediakan SOP dan memastikan pelanggan mendaftar My Sejahtera, mengimbas suhu badan dan melakukan penjarakan sosial,” katanya. – Malaysiapost