Nahas helikopter: Cam adik daripada gambar tular

0
2

“SAYA cam dia berdasarkan gambar helikopter terhempas di lokasi kejadian yang tular di media sosial saja,” kata Dr Mohd Izani Mohamed Rawi, abang kepada mangsa nahas, Mohd Irfan Fikri.

Beliau memaklumkan, keluarganya belum mendapat sebarang maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung status adiknya.

Bagaimanapun, dia percaya adik keempatnya itu adalah seorang daripada mangsa nahas berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai pihak.

“Setakat ini kami masih belum dapat maklumat rasmi lagi namun jika benar dia salah seorang mangsa kami reda dengan ketentuan ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, adik mangsa, Izyan Hazwani, 30, berkata, selepas menerima maklumat terdapat helikopter terhempas, dia terus memeriksa kedudukan terakhir abangnya itu melalui aplikasi Google Location.

“Kami adik beradik memang sentiasa menggunakan aplikasi ini untuk berkongsi lokasi, jadi berdasarkan kedudukan terakhir di aplikasi ini, dia masih di lokasi kejadian,” katanya.

Izyan berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Namun kami sekeluarga sentiasa berbual di group WhatsApp keluarga setiap hari,” katanya sambil menitiskan air mata.

Terdahulu, satu kemalangan udara dilaporkan pada jam 11.50 pagi tadi di Bukit Melawati, yang melibatkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB), jenis G2CA.

Dua helikopter itu yang sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama empat kru.

Kedua-dua helikopter dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana satu helikopter telah terhempas dan satu lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Taman Melawati. – Malaysiapost