IDENTITI empat mangsa nahas helikopter yang terhempas di Taman Melawati dekat Ampang pagi tadi telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata mangsa yang maut adalah Mohamed Sabri Baharom, 56, dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 44.
Menurutnya, dua penumpang yang terselamat adalah Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51.
Ahmad Jauhari adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Penerbangan Malaysia Bhd (MAS).
Katanya, polis sedang menyiasat kemungkinan ada penumpang lain yang terbabit dalam nahas udara tersebut.
“Dua helikopter ini daripada syarikat sama dan dipercayai dalam penerbangan dari Subang menuju ke Genting Sempah,” katanya kepada pemberita di lokasi nahas.
Mohamad Farouk berkata, siasatan polis setakat ini memfokuskan kepada punca kematian, manakala punca kemalangan membabitkan dua helikopter dijalankan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

