Isu JASA telah dieksploitasi – Wan Saiful

0
2

ISU mengenai peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah dieksploitasi untuk melarikan pandangan rakyat, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 adalah satu belanjawan prihatin rakyat dan bermatlamat membantu segenap lapisan masyarakat.

“Tetapi begitu banyak fokus sengaja ditumpukan kepada memesongkan isu JASA, kerana tidak banyak isu lain boleh dimainkan.

“Saya difahamkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memberi penjelasan lebih mendalam mengenai isu ini.

“Sementara itu, tak perlulah kita menari mengikut rentak pihak yang sentiasa mencari kesempatan untuk membangkang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dokumen Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen, menyatakan sejumlah RM81.5492 juta diperuntukkan mengikut butiran 050100, bagi program perluasan JASA.

Peruntukan yang terkandung dalam kepala bekalan 47, Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu, mengundang persoalan pelbagai pihak, khususnya pembangkang, memandangkan pandemik Covid-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama, mengikut situasi semasa.

Wan Saiful berkata, peranan JASA telah berubah mengikut situasi semasa dan beliau difahamkan niat kerajaan adalah untuk sentiasa mendengar dan faham rintihan rakyat, dan pada masa sama rakyat boleh mendapat maklumat tepat dari kerajaan.

“Bukan untuk propaganda seperti dulu. Era itu sudah berakhir. Dalam era media sosial ini, teknologi yang diperlukan untuk komunikasi berkesan memang tidak murah.

“Maka tidak pelik jika peruntukan secukupnya mesti diberi untuk memastikan kerajaan kita mempunyai teknologi dan kelengkapan yang sesuai dengan era media sosial ini.

“Itu kita belum bercakap mengenai kos menangkis berita palsu yang sengaja disebarkan lagi. Mungkin sebab itu jugalah peruntukan emolumen hanya sekitar RM4 juta sahaja daripada jumlah penuh yang diperuntukkan.

“Tak besar pun, sebenarnya. Yang lain adalah untuk pembelian keperluan termasuk teknologi yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh menjadi seperti kerajaan sebelum ini yang langsung tidak mendengar rintihan rakyat terbanyak.

Akibatnya katanya, Pakatan Harapan (PH) dahulu gagal memahami bahawa rakyat mahukan bantuan kos sara hidup, bantuan perniagaan, peluang pekerjaan, dan lain-lain insentif untuk kehidupan sempurna.

PN jangan jadi begitu. Jika perlu pelaburan teknologi baru untuk menggarap permintaan rakyat, maka kita patut buat agar tawaran dan inisiatif kerajaan sentiasa tepat dengan keperluan rakyat.

“Pada waktu sama, pegawai yang dilantik mesti yang berkelayakan dan berkebolehan. Jangan yang tak layak dilantik juga. Jika kita buat begitu, pasti rakyat akan bersetuju.

“Kita jangan tertipu dengan percubaan pembangkang melarikan perhatian daripada belanjawan prihatin yang penuh dengan inisiatif-inisiatif yang baik ini. Dan jangan juga kita ikut sama dalam propaganda mereka,” katanya. – Malaysiapost