“Bawa molek (baik-baik) heli tu, loni (sekarang) musim angin ribut.”
Itu nasihat yang sempat disampaikan bapa kepada salah seorang mangsa helikopter terhempas di Taman Melawati di Ampang hari ini, sebelum dilaporkan maut.
Berdasarkan tangkap layar daripada Facebook yang tular, nasihat itu diberikan Mohamed Rawi Che Muda kepada anaknya yang menggunakan nama Irfan F. Rawi di laman sosial tersebut.
Menerusi tangkap layar itu, Irfan memaklumkan dia perlu membuat ‘survey’ di Karak dan mengendalikan sebuah helikopter milik rakannya.
Sementara itu, menerusi perkongsian di ‘group’ Malaysiaku Dulu-Dulu Official di Facebook, Irfan ada memuat naik sekeping gambar sekolah bapanya dan meminta bantuan ahli ‘group’ mewarnakannya, semalam.
Semakan Malaysiapost di Facebook miliknya mendapati rakan-rakan mengucapkan takziah atas pemergiaan Allahyarham dalam tragedi tersebut.
Terdahulu, sebuah helikopter dilaporkan terhempas berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati, menyebabkan dua mangsa maut, manakala dua lagi termasuk seorang wanita terselamat.
Helikopter itu dipercayai bertembung dengan sebuah helikopter lain. – Malaysiapost

