PM harap Belanjawan 2021 beri kesan berganda pada golongan memerlukan

0
3

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap bantuan diberi kepada rakyat melalui Belanjawan 2021 dapat memberi kesan berganda khususnya kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, kerajaan sedar tidak selamanya rakyat harus bergantung kepada bantuan namun dalam keadaan sukar ini harus dilaksanakan.

“Dalam situasi sukar kerajaan harus tolong kalau terpaksa pinjam lebih pun ia akan dilaksanakan.

“Ini kerana supaya langkah diambil bukan setakat mengekalkan pekerjaan namun menjana ekonomi dan sektor seperti perdagangan dan peruncitan.

“Kita mahu kesan penggandaan akan dapat dilakukan walaupun perlu dibantu dalam peringkat ini, ” katanya dalam sesi soal jawab bersama Astro Awani, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, jika langkah permulaan tidak dilakukan langsung, sebahagian rakyat terpaksa menganggur dan tiada perniagaan atau mengalami kerugian.

Katanya, atas sebab itu kerajaan membantu supaya sektor utama khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan kumpulan terbanyak boleh terus ‘hidup’.

“Sebahagian besar rakyat Bumiputera yang terbabit seperti Makcik Kiah, Pak Salleh yang saya selalu sebutkan itu, ia kumpulan terbanyak perlu kita bantu supaya tak berdepan dan jatuh di bawah paras bawah Jaringan Sosial Masyarakat yang kita sediakan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan Majlis Digital Negara yang ditubuhkan bagi mempercepatkan proses digitalisasi oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memajukan perniagaan pada era pandemik Covid-19.

Beliau menambah, melalui majlis itu, pihaknya akan melihat dengan teliti bagi pelaksanaan proses digitalisasi yang mampu membantu mempercepatkan sektor perniagaan berkembang khususnya dari aspek jaringan antara mereka.

Selain itu, katanya, ia penting berikutan 70 peratus kegiatan ekonomi negara bersandarkan kepada PKS sekali gus memberikan sumbangan besar buat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dalam zaman sukar antara satu ditekankan kerajaan adalah soal pendigitalan ekonomi bagaimana proses ini dipercepatkan dalam masyarakat khususnya yang terbabit dalam sektor perniagaan.

“Sebahagian mereka bagaimana agak cepat melihat pilihan baharu melalui e-perdagangan ini di mana perniagaan mereka berkembang dengan cepat, ” ujarnya. -Malaysiapost