Suspek ‘kantoi’ tempah e-hailing terus ke lokasi kejadian

0
4

Suspek kes bunuh pensyarah ‘terkantoi’ terbabit dalam kes itu kerana menempah perkhidmatan e-hailing terus ke lokasi kejadian berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil,

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata berdasarkan rekod, suspek yang juga suami mangsa membuat tempahan perkhidmatan e-hailing terus ke lokasi kejadian.

“Sekiranya suspek ingin mencari si mati mestilah di beberapa kawasan, sebaliknya suspek terus menuju ke tempat mangsa dibunuh.

“Susulan itu polis menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek juga membuat helah mencari mangsa bersama anak perempuannya kononnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan anak tunggal pasangan itu berumur 14 tahun, 31 Julai lalu.

“Polis juga sudah mengenal pasti seorang wanita berasal dari Terengganu yang dikatakan mempunyai hubungan dengan suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan suspek yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian, membunuh wanita itu dengan menjerut lehernya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya.

Suspek turut berpura-pura mencari isterinya, 40, bersama anak perempuanya berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.