Jika dipanggil polis, saya sedia beri keterangan – Takiyuddin

0
2

Nurul Huda Abhar

[Parlimen] “Saya sedia untuk pergi ke balai polis untuk beri keterangan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata jika gambarnya melawat Datuk Seri Najib Razak pada malam bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd menimbulkan kontroversi, beliau sedia untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

“Sebagai pengamal undang-undang saya juga tertakluk kepada undang-undang.

“Jika apa yang saya lakukan tertakluk kepada undang-undang tertentu saya sedia untuk pergi ke balai polis untuk beri keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Liew Vui Kong (Warisan – Batu Sapi) tentang kontroversi gambarnya melawat Najib yang dimuat naik di laman sosial.

Hantaran gambar itu dimuat naik di media sosial milik Najib yang menunjukkan beliau bersama kepimpinan PAS termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melawat bekas Perdana Menteri itu pada malam 28 Julai lalu.

Takiyuddin berkata kunjungan tersebut tidak perlu dibangkitkan kerana ia hanya sekadar ziarah biasa sahaja.

“Amalan seperti ini bukanlah luar biasa, semasa Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dikenakan tindakan pun Presiden Pas juga menziarahi,” katanya.