Raja Thailand terkaya di dunia atasi Raja Arab Saudi, Sultan Brunei

0
3

RAJA Thailand, Maha Vajiralongkorn dilaporkan sebagai raja paling kaya di dunia mengatasi Raja Arab Saudi, Sultan Brunei dan keluarga diraja Britain.

Vajiralongkorn bukan sahaja mempunyai kekayaan luar biasa, bahkan sangat masyhur dengan gaya hidupnya yang sentiasa mencetus kegelisahan rakyat.

Vajiralongkorn berkahwin sebanyak empat kali dan dalam masa sama mempunyai seorang gundik serta didakwa gemar menghabiskan masa di Jerman berbanding berada di tanah air.

Menurut penganalisis, kekayaan Vajiralongkorn dianggarkan bernilai AS$30 bilion (RM128 bilion) hingga AS$60 bilion (RM257 bilion) merangkumi pemilikan hartanah dan pelaburan di syarikat utama dunia, lapor AstroAwani.

Sementara itu, pelaburan terbesar Biro Hartanah Diraja (CPB) menerusi Siam Commercial Bank dan Siam Cement Group, baginda menguasai 34 peratus saham dengan kedua-duanya bernilai AS$8 bilion (RM33 bilion) pada akhir tahun lalu.

Laporan turut menyebut, pada 2019, dividen daripada kedua-dua pelaburan itu sudah mampu memberikan pulangan sejumlah AS$342 juta (RM1.41 bilion) kepada Vajiralongkorn. -Malaysiapost