Pendekatan tegas untuk putuskan rantaian Covid-19 – PM

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau mengarahkan supaya beberapa pendekatan yang lebih tegas diambil bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 susulan situasi semasa yang menunjukkan trend peningkatan.

Perdana Menteri berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menumpukan perhatian kepada tindakan yang perlu diambil bagi memperketatkan lagi Prosedur Operasi Stadard (SOP) dan segera membendung penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

“Hakikatnya, peningkatan bilangan kes baharu jangkitan Covid-19 mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat dan kita tidak lagi boleh terus kekal di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Data-data yang dibentangkan pada setiap hari di dalam sidang khas ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa pendekatan yang lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya menerusi kenyataan.

Muhyiddin berkata, sehubungan itu, sidang khas MKN hari ini telah memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali negeri Perlis, Kelantan dan Pahang.

“Selain PKPB ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

“Selain itu, sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Negeri Sarawak membuat pembentangan tentang Pelan Persiapan Covid-19 bagi negeri Sarawak dan telah membuat permohonan untuk menambah bilangan katil di ICU dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan Covid-19 di tujuh hospital kerajaan di Sarawak.

“Saya telah minta supaya Kerajaan Negeri Sarawak mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti keperluan-keperluan ini dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“InsyaAllah semoga pendekatan-pendekatan yang diputuskan ini akan dapat membantu menurunkan kes-kes baharu jangkitan Covid-19 kepada tahap yang paling rendah bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya. -Malaysiapost