Muhammad Mustakim Ramli
TEMA sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan iaitu ‘Kita Jaga Keluarga’ bertepatan dengan situasi semasa ketika semua sedang menghadapi ancaman Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, peranan setiap ahli keluarga adalah amat penting untuk melindungi keluarga masing-masing daripada bahaya wabak ini selain bertanggungjawab untuk bersama-sama membendung penularan Covid-19 dalam komuniti.
Katanya, ia juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi institusi keluarga daripada wabak Covid-19, di mana keluarga yang terkesan diberi pelindungan, sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan keluarga supaya lebih cekal dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.
“Kesan pandemik Covid-19 ke atas negara dan amalan norma baharu telah mengubah kehidupan kita. Tanggungjawab dan cabaran keluarga juga makin bertambah dalam meningkatkan penjagaan kesihatan keluarga, memastikan kelangsungan pendidikan anak semasa di rumah dan penjagaan anak semasa bekerja.
“Pada masa yang sama, keluarga yang terjejas dengan pandemik ini perlu diperkasa dan diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu dan meneruskan kelangsungan hidup. Sistem sokongan yang komprehensif memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan untuk peduli keluarga dan saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya sempena Pelancaran (Secara Dalam Talian), Sambutan Bulan Kebangsaan, hari ini.
Muhyiddin berkata, Bajet 2021 telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan rentan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
Katanya, kerajaan akan terus berusaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.
“Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited untuk menetapkan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekaligus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa. Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Saya percaya Malaysia mampu bangkit semula selepas ini. Ini terbukti kerana di sepanjang tempoh PKP, ramai rakyat Malaysia yang menunjukkan sikap mulia, saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama. Inilah keluarga Malaysia yang unik dan sentiasa bersama-sama bantu-membantu baik ketika susah atau senang,” katanya.-Malaysiapost

