Muhammad Mustakim Ramli
PENUBUHAN semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) merupakan satu langkah yang baik, kata penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, peranan menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada rakyat, khususnya di dalam menonjolkan apa-apa sahaja yang positif yang telah dibuat oleh kerajaan, banyak dimainkan oleh JASA.
“Malangnya, bila Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, kewujudan JASA ini tidak lagi dipandang berat malah ia terus dihapuskan sekali gus menjadi penyumbang kepada kegagalan penyebaran maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada rakyat.
“Hampir setiap kali bila calon PH mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya kecil rungutan utama yang akan kedengaran disuarakan oleh para pemimpinnya ialah kononnya masalah utama PH ialah ia gagal menonjolkan kejayaannya sebagai pemerintah,” katanya menerusi Facebook.
Dr Kamarul turut memberi contoh beberapa pemimpin PH ketika itu ‘merungut’ kerana kejayaan mereka gagal ditonjolkan.
“Bila calon Bersatu, Karmaine Sardini, mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, pemimpin parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menyebut: “Saya dapati isu paling besar sepanjang berkempen di sana adalah komunikasi tak sampai dan banyak cerita kejayaan PH tidak dapat ditonjolkan”.
“Pemimpin PKR ketika itu, Zuraida Kamaruddin, menyebut: “PH perlu mengambil iktibar atas kekalahan tersebut dan segera memantapkan penyebaran maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada rakyat.”
“Begitu juga pemimpin DAP, Zairil Khir Johari, menyebut: “Untuk PH, kekalahan ini boleh dengan mudahnya berpusar di luar kawalan jika pakatan ini tidak bertindak, khususnya dalam aspek komunikasi dan maklumat.”,” katanya.
Beliay berkata, langkah mewujudkan semula JASA kemudian dikritik beberapa pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen DAP, Wong Shu Qi, atau Ahli Parlimen PKR, Amin Ahmad kerana langkah ini pastinya akan membantu mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan.
“Begitupun, agak pelik juga jika langkah ini turut dikritik oleh pendokong kerajaan sendiri tanpa terlebih dahulu memberi peluang kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi penjelasan bagaimana peruntukan RM85.5 juta kepada JASA itu mahu dibelanjakan.
“Pengwujudan semula JASA adalah satu langkah baik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mungkin telah belajar daripada kesilapan PH sebelumnya yang tergesa-gesa menghapuskan terus JASA semata-mata kerana ia adalah legasi BN.
“Soal berapakah jumlah peruntukan yang perlu diberikan kepada JASA bagi membolehkannya beroperasi secara optimum, apakah cadangan peruntukan RM85.5 juta kepada JASA itu adalah sesuatu yang berlebihan dan perlu dikurangkan, boleh sahaja dibincangkan elok-elok,” katanya.-Malaysiapost

