Belanjawan 2021: Anwar mulakan perbahasan Isnin ini

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selama 90 minit Isnin ini, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, maklumat belanjawan yang menjadi tumpuan adalah dari mana sumber pendapatan kerajaan serta bagaimana wang dibelanjakan.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menyampaikan syor kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyentuh pelbagai perkara.

Bagaimanapun, menurutnya, fokus utama adalah meringankan beban rakyat melalui bantuan tunai, lanjutan moratorium dan pengurangan cukai kepada golongan yang memerlukan.

“Syor kami juga untuk lebih banyak peluang kerja diwujudkan dan mengekalkan pekerjaan sedia ada.

“Syarikat-syarikat perniagaan perlu turut dibantu kerana di sini peluang kerja tercipta,” katanya sambil memaklumkan beliau juga akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. – Malaysiapost