Belanjawan 2021: NUTP kecewa guru tiada insentif tingkat kompetensi digital

0
3

Fitri Nizam

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kecewa kerana tiada insentif kepada guru untuk meningkatkan kompetensi digital dan juga pembelian alatan digital serta subsidi jalur lebar.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata kerajaan tidak melihat pemerkasaan pendidikan secara digital sebagai sesuatu yang penting dalam era pasca Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengutamakan pendidikan sebagai sektor penerima terbesar Belanjawan 2021 iaitu sebanyak RM50.4 bilion.

Beliau juga berharap peruntukan untuk membaik pulih sekolah dilaksanakan tanpa dibelenggu kerenah birokrasi.

“Contoh apabila sekolah ingin membaiki paip bocor dengan kos RM50, ia boleh dilaksanakan dengan kadar segera dan tukang paip dapat bayaran dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, inisiatif kerajaan untuk membekalkan komputer riba kepada 150,000 murid adalah usaha baik namun pihaknya mencadangkan supaya golongan berpendapatan pertengahan diberi pinjaman tanpa faedah.

Beliau juga berkata, taska yang bakal diwujudkan dengan peruntukan harus juga diwujudkan di institusi pendidikan atau sekolah yang besar kerana lebih kurang 70 peratus daripada guru-guru adalah kaum hawa.

“Dengan adanya taska, mereka boleh menumpukan lebih masa mereka kepada tugas mereka.

“Isu warden sepenuh masa ada satu perkara yang belum lagi diwujudkan. Oleh itu pihak kami berharap pihak kerajaan dapat memberi perhatian dan kemungkinan program MyStep boleh digunakan,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya juga memandang serius terhadap guru sementara dalam sistem pendidikan adalah penting untuk mengisi kekosongan guru.

Kementerian Pendidikan (KPM) terus menjadi penerima peruntukan terbesar dengan jumlah RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan. – Malaysiapost