KAMPUNG Baru dan Sungai Penchala di Kuala Lumpur adalah antara sasaran utama pembangunan di tanah rizab Melayu, antara lain bagi meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah.
Perkara itu dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa susulan peruntukan RM750 juta bagi tujuan tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menerusi Belanjawan 2021.
“Syukur kerana kerajaan berkeyakinan dengan potensi tanah rizab Melayu di kawasan strategik.
“RM750 juta diperuntukkan melalui Pelaburan Hartanah Berhad (PHB). Kampung Baru, Sungai Penchala adalah antara sasaran utama pembangunan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentang Belanjawan 2021 berkata PHB telah berjaya membangunkan hospital swasta bernilai RM300 juta di atas tanah rizab Melayu di Sungai Penchala.
Berikutan itu, katanya, kerajaan berhasrat untuk terus mengoptimumkan nilai tanah rizab Melayu di kawasan-kawasan strategik.
Bagi tujuan itu, katanya, RM750 juta akan disediakan kepada PHB di bawah RMKe-12 bagi meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah terutama bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.
Dalam ciapan berasingan, Annuar berkata belanjawan RM322.5 bilion iaitu terbesar dalam sejarah negara membuktikan komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mensejahterakan rakyat dan memulihkan ekonomi negara. – Malaysiapost

