[Belanjawan] KEMENTERIAN Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing menerima peruntukkan RM16 bilion dan RM17 bilion, yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi memastikan kesiapsiagaan aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerajaan akan menaikkan peruntukan penyelenggaraan kepada RM2.3 bilion bagi 2021 berbanding RM2 bilion sebelum ini.
“Selain itu, dalam menangani jenayah siber yang kian meningkat, Kerajaan memperuntukkan RM27 juta kepada CyberSecurity Malaysia untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.
“Kerajaan sentiasa memastikan kebajikan anggota tentera tidak terabai. Selain terus menyelenggara kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera sedia ada, kerajaan turut meluluskan pembinaan sebanyak hampir 1,000 unit baharu dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM500 juta,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan kerajaan turut menghargai peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia, RELA yang turut sama membantu dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Justeru itu, beliau mengumumkan sebanyak RM153 juta disediakan termasuk menaik taraf kemudahan di pusat latihan bagi mengukuh peranan RELA. -Malaysiapost

