RM1.2 bilion bangunkan perumahan golongan berpendapatan rendah

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

[Belanjawan] SEJUMLAH RM1.2 bilion disediakan bagi tujuan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, peruntukkan itu membabitkan RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat.

“Selain RM315 juta untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB serta RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam.

“Serta RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Sementara itu, beliau berkata bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, inisiatif berikut akan dilaksanakan iaitu pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.

Katanya, pengecualian itu adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025.

“Selain itu, pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberi kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.

“Pengecualian itu adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own.

“Program ini akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 membabitkan 5,000 buah rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih 1 bilion ringgit dan dikhaskan untuk pembeli rumah pertama,” katanya. – Malaysiapost