‘Geng masjid’ dapat one-off RM500

0
3

Fitri Nizam

[Belanjawan] KERAJAAN mengumumkan pemberian bayaran khas secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada Imam, Bilal, Siak, Merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pemberian bantuan khas itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 70,000 orang.

Selain itu, beliau berkata, bagi menghargai jasa 4,000 Guru Takmir sebagai antara penggerak komuniti di peringkat kariah, kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun golongan tersebut daripada RM800 kepada RM900 sebulan.

“Pembangunan Islam akan terus diperkukuh. Belanjawan 2021 memperuntukkan RM1.4 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kerajaan akan memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, PNB melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB.

“Di bawah perkhidmatan ini, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit mereka ke dalam tabung wakaf ASNB dan mereka layak mendapat potongan cukai pendapatan.

“Pulangan berterusan dari tabung wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti PNB,” katanya, – Malaysiapost