Inisiatif pengambilan pekerja di bawah PERKESO diteruskan

0
3

[Belanjawan] KERAJAAN akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah PERKESO yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan beberapa penambahbaikan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif tersebut ialah:

Pertama: Insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan, kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan;

Kedua: Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus; dan

Ketiga: Bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

Ketiga-tiga perkara itu, insentif diberikan untuk tempoh enam bulan; dan

Keempat: Bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

Tengku Zafrul berkata, bagi menjayakan keempat-empat inisiatif PenjanaKerjaya itu, sejumlah 2 bilion ringgit diperuntukkan dan dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 pencari kerja.

“Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri.

“Majlis ini akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas Kementerian dan agensi dalam mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja. Agensi LAKSANA akan bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost