Muhammad Mustakim Ramli
TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan masih berusaha untuk mengisytihar darurat di negara ini.
Katanya, ia berdasarkan hujah kerajaan kononnya negara berada dalam keadaan krisis, dengan 10,000 polis menghidap Covid-19, selain sejuta orang asing sudah berada negara ini dan kononnya jika darurat tidak diisytihar sebelum Isnin, 2 November, pasaran saham akan jatuh merudum.
Bekas Perdana Menteri itu berkata benar pandemik itu sudah meningkat tetapi ini disebabkan kerajaan Pusat sengaja berebut kuasa di Sabah dan kesannya ramai rakyat Sabah diserang Covid-19 dan mereka dari Semenanjung yang ke sana untuk berkempen turut dijangkiti.
“Apa perlunya Perikatan Nasional (PN) merebut kuasa Kerajaan Sabah – terutama semasa kita diserang Covid-19. Saya tidak tahu benar atau tidak 10,000 anggota polis diserang Covid-19 kata 10,000 anggota dan pegawai polis telah dikuarantin, dan 200 disahkan positif.
“Ya! 10,000 anggota polis diserang Covid-19 menggerun kita. Tetapi Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador dilapor berkata jumlah itu adalah kumulatif dari Mac. Jadi bukanlah 10,000 pada satu masa! Laporan Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) tidak sebut perkara ini,” katanya hari ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun angka kes baharu tinggi, tetapi tidaklah seburuk negara lain, seperti Amerika Syarikat hampir 100,000 kes baharu dilapor setiap hari dan kematian meningkat hingga lebih 200,000 berbanding hampir 300 di Malaysia.
“Benar penduduk Malaysia 32 juta sementara penduduk Amerika Syarikat 360 juta atau lebih 10 kali ganda ramai. Jika kadarnya sama kematian maka di Malaysia jumlah tentu lebih dari 300,000. Jadi sebenarnya kematian di Malaysia kurang 1,000 kali.
“Berbanding jiran-jiran kita juga keadaan kita lebih baik. Apakah kuasa penuh oleh Perdana Menteri melalui darurat boleh kurangkan lagi kes Covid-19. Apakah yang boleh dilakukan Perdana Menteri dengan kuasa penuh dari darurat yang tidak boleh dilakukan sekarang,” katanya.
“Belanjawan pun boleh dilulus oleh Parlimen. Tetapi takkanlah tanpa melihat belanjawan, kita luluskan belanjawan. Itu seperti menandatangan “cek” kosong.
“Kita percaya pada Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri adalah manusia biasa – mungkin tersilap. Kita juga ada idea baik yang boleh dimasukkan. Selepas itu kita luluslah,” katanya.
Dr Mahathir berkata, jika keadaan kritikal, Parlimen boleh sebulat suara menangguhkan pilihan raya.
Beliau juga meminta orang ramai berfikir, jika berada dalam peperangan, adakah perlu pilihan raya? Sudah tentu semua mahu ia ditangguhkan.
“Kita akur akan undang-undang. Tetapi takkanlah sehingga mati. Kita sedar jika diadakan pilihan raya, beribu-ribu akan mati. Nak buat jugakah? Kita pegang kuat kepada Perlembagaan. Tetapi Perlembagaan boleh dipinda jika lebih dari 2/3 bersetuju.
“Berkenaan dakwaan kononnya jika tidak diisytihar darurat sebelum 2 November, pasar saham akan jatuh merudum pada 2 November. Yang kita lihat ialah walaupun darurat tidak diisytihar sebelum Isnin 2 November, pasaran saham tidak jatuh merudum. Sebaliknya berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Beliau berkata, jelaslah dakwaan bahawa pasar saham akan jatuh merudum jika darurat tidak diisytihar adalah cara untuk memaksa Yang Di-Pertuan Agong isytihar darurat.
“Fikir. Fikir dalam-dalam. Undang-undang untuk selamat kita, bukan untuk bunuh kita,” katanya. – Malaysiapost

