Hapus hutang B40, Armada tak ‘syok sendiri’.

0
3

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyifatkan cadangan berkaitan pengampunan hutang atau ‘debt jubilee’ bukan syok sendiri.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata isu itu dibahaskan oleh ramai pakar kewangan dan sarjana yang memahami masalah sebenar ekonomi dan sistem kewangan moden.

Beliau berkata, ‘debt jubilee’ adalah sebagai penyelamat rakyat di tengah-tengah badai wabak Covid-19 yang dibincangkan dalam banyak laman terkenal seperti Financial Times, Washington Post.

“Kita perlu penyelesaian radikal kerana cabaran yang kita hadapi adalah maha besar – paling besar sejak Perang Dunia Kedua.

“Justeru, ini bukan omongan kosong. Ini fakta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Perang Dunia Kedua menyaksikan ‘global reset’ ke atas sistem kapitalisme moden.

“Maka kali ini selepas hampir satu abad sudah tiba masanya kita fikirkan “reset” yang baru.

“Kalau dulu boleh ada ‘Bretton Woods’ , ‘Marshall Plan’ untuk selamatkan nyawa dan kehidupan rakyat khususnya di Barat, mengapa kita di Timur khususnya negara sedang membangun tidak boleh memikirkan untung nasib kita sendiri?

“Mengapa biar diri kita dijajah dengan ilmu kolonial berhubung ekonomi dan kewangan bila mana di Barat sendiri mereka persoalkan dogma-dogma tersebut seperti gerakan “Post-Crash Economy”, “Positive Money” dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata, lebih malang lagi kerana umat Islam sudah ada panduan yang jelas dalam al-Quran dan hadis berhubung mengurus beban hutang buat fuqara’ dan masakin.

Semalam, Wan Ahmad menggesa bank melaksanakan penghapusan hutang secara bersasar, khasnya kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terbawah (B40).

Beliau berkata, gesaan untuk bank menghapuskan bayaran faedah dan hutang bukan perkara baru kerana cadangan sama turut dibangkitkan di negara lain.

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi yang memiliki saham di bank mempunyai kewajipan sosial terhadap rakyat dan mereka perlu membuat pengorbanan. -Malaysiapost