
TINDAKAN mengehadkan 80 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat tidak menjejaskan demokrasi, kata Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sekiranya wakil rakyat ingin bercakap atau mengundi mereka boleh masuk bergilir-gilir untuk mengelak kesesakan, dalam masa sama mencegah penularan Covid-19.
“Demokrasi mana yg terjejas..bergilir-gilir masuk Dewan supaya tidak crowded (sesak).
“Nak bercakap, nak undi boleh masuk..waktu di luar, boleh ikuti sidang melalui ‘close circuit’. Rasa nak masuk boleh masuk asal sentiasa ada di bangunan Parlimen,” katanya menerusi Twitter.
Beliau berkata, sesetengah pihak tidak memahami bahawa jumlah 80 Ahli Parlimen hanya dalam Dewan Rakyat bukan bangunan Parlimen.
Justeru, katanya, yang lain boleh menunggu di luar dan tunggu giliran untuk masuk.
“Mereka tak faham..80 (orang) dalam dewan rakyat tu bermaksud dalam ‘chamber’.
“Yang lain dok bilek (fikir) lain tapi boleh ikuti sidang..gilir la masuk chamber..nak bahas dan nak undi boleh masuk,” katanya lagi.
Semalam, Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata, tindakan mengehadkan 80 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa mulai minggu depan adalah ancaman kepada demokrasi.
Beliau berkata, ia kerana tiada kaedah lain untuk Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.
Khoo berkata, keputusan itu menafikan hak wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen dan kewajipan mereka menghadiri sidang Parlimen serta menjalankan tugas untuk mewakili rakyat yang memilih mereka.
-Malaysiapost.
