PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan menyifatkan keputusan menaikkan gaji wakil rakyat Kelantan bagi mengurangkan jurang perbezaan dengan negeri lain, sebagai tidak munasabah.
Yang Dipertuanya, Muhammad Aqil Iqbal Mohd Zulkifli, berkata pihaknya kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung perkara itu.
“Keperluan untuk menaikkan gaji wakil rakyat bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji dengan wakil rakyat negeri lain adalah tidak munasabah.
“Kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan belanjawan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat terutama bagi golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19, serta memberi insentif tambahan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa berdedikasi menjaga rakyat, “katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesan pandemik Covid-19 menyaksikan ramai pelajar memerlukan bantuan pendidikan kerana keluarga tidak mampu untuk menampung kos pembelajaran.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan negeri
juga perlu mewujudkan peluang pekerjaan lebih luas dan pelbagai khususnya di Kelantan bagi menangani isu pengangguran yang kian meningkat.
“PKPIM Kelantan juga menggesa agar Belanjawan Negeri Kelantan 2021 wajib diberikan keutamaan dan perhatian kepada bantuan pendidikan di semua peringkat serta peluang pekerjaan bagi rakyat Kelantan khususnya,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin seharusnya menjadi contoh dan teladan yang baik terutama dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan rakyat.
“Semoga Negeri Kelantan terus diberkati dan dirahmati serta dijauhkan dari pemimpin yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Semalam, Mohd Amar berkata, EXCO dan ADUN Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Beliau berkata, kenaikan itu wajar memandangkan wujud perbezaan gaji yang agak ketara dengan rakan sejawat di negeri lain.
Katanya, pada Persidangan Belanjawan Kelantan 2021 kali ini, kerajaan negeri dijangka membentangkan rang undang-undang meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980, bagi membolehkan kenaikan dan penyelarasan gaji itu diluluskan. -Malaysiapost

