Nurul Huda Abhar
AHLI-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membantah keputusan untuk menghadkan hanya 80 orang Ahli Parlimen di dalam sidang Dewan Rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2021.
Dalam satu kenyataan, ahli-ahli parlimen Pejuang berpendapat, alasan yang diberi adalah untuk membendung wabak Covid-19 dilihat tidak berasas.
Malahan, katanya, ini bukan kali pertama Dewan Rakyat bersidang sewaktu tempoh pandemik.
“Terdapat operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan di dalam dewan seperti pemasangan penghadang lut sinar dan aturan kerusi secara penjarakan sosial bagi sidang-sidang sebelum ini.
“Selain itu, persidangan secara digital juga boleh menjadi alternatif yang sesuai bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa menghadkan keterlibatan ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan.
“Di waktu yang sama rakyat disuruh bekerja secara alternatif dan atas talian, namun Kerajaan sendiri mengambil jalan mudah dan keterbelakang,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Sementara itu, katanya, keputusan menghadkan kehadiran ahli-ahli dewan ini juga tidak dibincangkan bersama dengan wakil dari pihak Bebas (Pejuang).
Menurutnya, wakil dari pihak mereka tidak pernah dijemput untuk membincangkan perkara ini.
“Ahli Parlimen adalah wakil sah yang dipilih oleh Rakyat bagi menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan Rakyat dalam Parlimen.
“Keterlibatan penuh Ahli Parlimen dalam sesi Belanjawan 2021 adalah cukup penting bagi memastikan belanjawan Negara dapat diperhalusi mengikut keperluan Rakyat tanpa ruang salah guna dan penyelewengan,” ujarnya.
Sementara itu, kenyatan itu juga menyatakan Parlimen adalah gedung perbahasan, maka wakil Rakyat sepatutnya diberi cukup ruang untuk membawa suara Rakyat yang diwakili mereka.
Kenyataan dari Pejuang tersebut mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Shahruddin Md Salleh.
Terdahulu, media melaporkan jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan berada di Dewan Rakyat akan dihadkan kepada 80 orang pada satu-satu masa sepanjang tempoh persidangan sesi kali ini termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2021 esok.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Covid-19 semalam.
Beliau berkata, pecahan pembahagian yang ditentukan ialah 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas. – Malaysiapost
