Belanjawan 2021: Kerajaan, pembangkang tiada pilihan pastikan bajet lulus

0
2

SEMUA pihak, khususnya Ahli Parlimen tidak kira sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang tiada pilihan selain menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok. 

Penganalisis Politik dan Kerajaan/Pembinaan Negara, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri berkata belanjawan kali ini sangat penting kepada rakyat dan negara yang kini dihimpit oleh pandemik yang tidak disangka-sangka dan memerlukan semua pihak bersatu. 

Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri

Berikutan itu, katanya, di pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu menunjukkan semangat kenegaraan dan patriotisme yang tinggi dengan sama-sama mengutamakan kepentingan rakyat, serta mendengar permintaan Yang di-Pertuan Agong agar bajet kali ini diberi sokongan penuh. 

“Belanjawan ini sangat penting kepada rakyat dan negara, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang tiada pilihan selain menyokongnya, kalau tidak akan berlaku malapetaka kepada negara. 

“Semua kena tunjuk semangat patriotik, malah Belanjawan ini telah diminta oleh Yang di-Pertuan Agong supaya disokong, tetapi kalau ada yang tak sokong, (maka) tahap patriotik dia rendahlah. 

“Jangan jadikan Belanjawan 2021 untuk kepentingan politik. Masa ini tidak sesuai untuk berpolitik, ini masanya untuk sama-sama bangunkan negara yang berdepan krisis,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Sudut Pandang bertajuk ‘Belanjawan 2021, Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang bersatu? disiarkan Malaysiapost, malam ini. 

Dr Al-Azharri turut mencadangkan agar semua wakil rakyat supaya bersatu dan kembali kepada asas kenegaraan untuk membentuk kemenjadian rakyat yang kini terkapai-kapai akibat penularan Covid-19. 

“Sudah banyak negara yang mengalami kepayahan (akibat Covid-19), banyak ditutup dan rakyat hilang kerja… kita tak mahu ini berterusan melanda kepada negara kita. 

“Jadi saya merayu semua Ahli Parlimen lupakan politiking waktu ini, sementara kita berdepan marabahaya Covid-19 ini, marilah kita bersatu untuk rakyat dan negara. 

“Selepas isu Covid-19 berjaya diatasi, kalau nak buat Pilihan Raya Ke-15, buatlah. Pada masa itu laksanakanlah hak kita sebagai rakyat, pilihlah siapa kita nak. Sekarang kita fokus isu Covid-19 demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost