KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan memaklumkan kira-kira 2,000 lokasi di sekitar ibu negara yang sebelum ini tidak dibenarkan berniaga akan dibuka kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan bagi memulakan perniagaan.

Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata di bawah Program Usahawan Muda itu, pemohon juga boleh mencadangkan lokasi kepada kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dipertimbangkan.
Annuar berkata, ia dengan syarat lokasi berkenaan tidak mengganggu ketenteraman dan orang awam lalu lalang, selain boleh memastikan tahap kebersihannya sentiasa terjaga.
“Kita ambil langkah fleksibel terhadap tempat yang biasanya dilarang (berniaga), ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan dan jika ada tempat yang mereka ini berminat untuk berniaga, mereka boleh datang kepada kita.
“Mereka boleh memohon dan lesen sementara akan diberi, bertujuan membantu mereka yang menganggur secara mendadak dan hilang mata pencarian. Kita akan tanganinya secara kes demi kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan makanan asas secara pandu lalu kepada 40 pemandu teksi di sekitar Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini. – Malaysiapost

