Fitri Nizam
KERAJAAN perlu menyegerakan bantuan tunai kepada rakyat tanpa berlengah lagi, kata Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata, menjelang pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat esok, pihaknya ingin mengemukakan beberapa cadangan supaya dipertimbangkan.
Katanya, antara cadangan yang perlu adalah bantuan tunai kepada rakyat seperti dilaksanakan ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
“Kita juga minta kerajaan, beri perhatian kepada kumpulan minoriti dan terutamanya Orang Asli yang sebelum ini hidup dalam kesusahan dan lebih terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kerajaan perlu meneruskan semua projek pembangunan dan infrastruktur dalam keadaan pihak swasta tidak meneruskan aktiviti ekonomi dengan rancak seperti sebelum Covid-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Projek-projek yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi terutamanya pembangunan di luar bandar khusus kepada pembinaan jalan dan bekalan air bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan wajar pertimbang pemberian khusus bantuan kepada nelayan dan pesawah yang terkesan teruk dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini selepas bantuan itu dihentikan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan juga diminta beri insentif kepada penghantar makanan dan barangan yang cukup aktif dan membantu semasa PKP sehingga sekarang.
“Kerajaan disarankan mewujudkan peluang pekerjaan kepada semua terutamanya bagi lepasan sekolah dan universiti.
“Terakhir, kerajaan dipohon memberi peruntukan yang lebih kepada NGO (Badan Bukan Kerajaan ) terutama yang melibatkan alam sekitar dan penjagaan hutan,” katanya.
Shahidan berkata, beliau percaya dengan kandungan Belanjawan 2021 yang baik akan memberi manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat sudah semestinya akan mendapat sokongan oleh semua Ahli Parlimen seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

