1/3 jemaah dibenar solat Jumaat di zon hijau, kuning di Wilayah Persekutuan

0
2
SOP

JUMLAH jemaah solat Jumaat diperluaskan sehingga satu pertiga daripada kapasiti dewan solat utama masjid dan surau Jumaat bagi zon hijau dan kuning di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Mengumumkannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia dicapai selepas mengambil kira pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, bagi solat fardu lima waktu di kawasan zon hijau dan kuning, kapasiti yang dibenarkan adalah tidak melebihi 30 jemaah, tertakluk keluasan dewan solat utama masjid dan surau, dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi Labuan yang kini di zon merah, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang dan solat lima waktu dihadkan kepada tiga orang.

“Dalam masa sama, aturan ini turut dilaksanakan Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya wujudnya zon merah di kawasan tersebut dan keadaan sama berlaku,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Bagi maijlis akad nikah, Dr Zulkifli berkata jumlah jemputan tidak lebih 30 orang dengan mengambil kira penjarakan satu meter dan tertakluk keluasan premis ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya, premis itu merangkumi pejabat agama dan masjid terpilih yang ditetapkan oleh JAW, manakala Jurufoto dibenarkan dan tidak termasuk dalam 30 jemputan tetapi hendaklah mematuhi SOP.

“SOP ini berkuatkuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan bermula esok. Untuk negeri lain, ia tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Bagaimanapun, untuk tujuan penyelarasan, disarankan negeri-negeri untuk mengikut resolusi yang dicapai bersama dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke 9 baru-baru ini,” katanya. – Malaysiapost