Kes bunuh Surya: Naluri ibu yakin anak tak salah

0
1

IBU kepada remaja 19 tahun, suspek utama kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, berkata naluri ibu dalam dirinya percaya anaknya tidak bersalah, biarpun ‘satu dunia’ menyatakan sebaliknya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulung yang dipanggil kakak itu adalah harapannya dan sangat memahami kemiskinan hidup dihadapi mereka sekeluarga selama ini, lapor Sinar Harian.

Wanita itu yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, kakak memang anak yang sangat baik dan tidak pernah merungut dengan kemiskinan mereka meskipun pernah terpaksa menangguhkan bayaran yuran sekolahnya kerana tiada duit.

“Kakak juga pernah menolak beberapa tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana kami tidak ada duit, tetapi dia tidak pernah tunjuk tanda-tanda protes malah kakak pula pujuk saya, supaya jangan rasa bersalah dengan keputusan dibuatnya.

“Dia juga tidak kisah kalau terpaksa memakai baju sekolah terpakai yang disedekahkan orang ramai dan pakaian harian yang dipakainya hari-hari pula kebanyakan baju dan tudung yang disedekahkan kepada kami. Dia tidak malu walaupun mengenakan pakaian sama,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat Siti Nur Surya,19, ditemui dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumahnya.

Susulan kejadian itu, pelajar perempuan tingkatan enam yang juga rakan sekolah mangsa direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu suspek berkata, anak sulungnya yang bercita-cita menjadi guru selalu memberi semangat kepadanya agar sentiasa kuat untuk meneruskan hidup yang serba kekurangan, selain berjanji akan berusaha membela nasib keluarga.

Dia turut memaklumkan anaknya sendiri mengambil keputusan tampil ke balai polis, bukan kerana dipujuk.

“Saya masih ingat lagi lepas solat subuh (Isnin) iaitu kira-kira jam 6.30 petang, kakak dah tunggu dekat ruang tamu dan lepas nampak saya siap solat, terus dia bagi tahu nak ke balai polis.

“Dia yang ajak saya tapi masa tu saya tak terfikir apa pun dan menurut sahaja ajakannya tetapi beberapa minit selepas berjumpa dengan polis, saya diberitahu yang kakak terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

“Memang agak terkejut selepas dimaklumkan, saya terus bertanya kakak sepanjang menemaninya di balai polis sebanyak tiga kali, adakah betul kakak yang buat, tapi dia jawab tak buat dan saya tahu dia tidak menipu,” katanya lagi. – Malaysiapost