Bukan ‘kubur berdarah’ tapi cecair campuran

0
2

KUBUR yang tular dikatakan mengeluarkan darah di Tanah Perkuburan Masjid Al-Irfan, Alor Setar, Kedah, sebenarnya adalah cecair campuran.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata hasil ujian mendapati cecair itu dicampur dengan bahan berminyak seolah-olah darah.

Hasanuddin berkata, perbuatan meletak cecair seperti darah itu berkemungkinan dilakukan individu ‘nakal’.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan kerana ini kerja mereka yang nakal.

“Kes ini dianggap selesai dan kebetulan tanah perkuburan itu masih baharu menyebabkan ia mendap,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Pada majlis itu, Datuk Muhammad Azlee Abdullah menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Ketua Polis Kedah baharu, Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun.

Muhammad Azlee berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah selama 18 bulan sebelum bersara wajib hari ini.

September lalu, kisah kubur berdarah tular di media sosial sehingga mengundang andaian yang boleh mengaibkan jenazah yang baharu dikebumikan dua minggu.

Berikutan itu, jemaah masjid berkenaan membuat laporan polis berkaitan video dan kisah yang tular di laman sosial agar polis menyiasat kes itu. – Malaysiapost