JUMLAH hutang kerajaan Persekutuan meningkat sekitar tujuh peratus tahun lalu kepada RM792.9 bilion, iaitu berbanding RM741 bilion pada 2018.
Ia didedahkan menerusi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 yang dibentang Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, hari ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata nisbah hutang kerajaan tahun lalu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 52.5 peratus, berbanding 51.2 peratus pada 2018, lapor Berita Harian.
Katanya, jumlah liabiliti persekutuan pula adalah RM1.08 trilion atau bersamaan 71.5 peratus nisbah liabiliti kepada KDNK.
“Sebanyak 59.9 peratus atau RM82.7 bilion daripada jumlah Terimaan Pinjaman Baharu berjumlah RM138.5 bilion, digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman dalam negeri (hutang matang).
“Hanya 29.7 peratus atau RM41.1 bilion digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan. Situasi sebegini haruslah diperbaiki,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

