Dalam pintu ada rokok

0
2

MENYEMBUNYIKAN rokok putih di dalam kepingan pintu yang ditutupi lapisan kayu, antara taktik baharu sindiket penyeludupan rokok yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata taktik berkenaan dikesan menerusi serbuan Op Benteng 2020 di sebuah premis syarikat penghantaran di Jalan Kempas Lama, pada jam 4.30 petang 21 Oktober lalu.

“Atas maklumat pasukan risikan selatan, sepasukan anggota penguat kuasa Kastam Sungai Pulai menyerbu premis berkenaan dan menemui 620 karton rokok disorok pada 10 keping pintu yang memuatkan 124,000 batang rokok putih.

“Setiap pintu boleh memuatkan 62 karton bersamaan 12,400 batang rokok membabitkan anggaran nilai keseluruhan RM49,600 serta anggaran nilai duti RM86,000,” katanya seperti dilapor Bernama.

Dalam serbuan berasingan, beliau berkata pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup rokok putih dan keretek pelbagai jenama bernilai lebih RM150,000 serta dengan nilai cukai berjumlah RM580,272, di Senai, Sabtu lalu.

Sazali berkata, serbuan dilakukan anggota penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai hasil maklumat orang awam di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City dekat Senai kira-kira 8 pagi, menemukan 150 karton bersamaan 856,000 batang rokok.

Katanya, pihaknya percaya kedua-dua kes penyeludupan rokok berkenaan adalah untuk dihantar ke negara jiran.

“Dalam kes ini, tiada sebarang tangkapan terhadap individu dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Malaysiapost