LAPAN kopi campuran yang dijual di pasaran merupakan antara 21 produk makanan didapati mengandungi racun berjadual yang dilarang penggunaannya.
Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran serta melarang penjualan produk terbabit kerana disyaki menggunakan campuran racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, analisis makmal ke atas 21 produk itu mendapati mengandungi racun berjadual seperti tadalafil dan sildenafil yang turut memaparkan maklumat palsu pada label produk.
“Semua peniaga, termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarah menghentikan serta-merta penjualan semua produk dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini disarankan segera mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bahagian keselamatan dan kualiti makanan kementerian itu memantau sebanyak 849 produk makanan sejak tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.
Sebanyak 21 produk yang didapati mengandungi racun berjadual itu, termasuk minuman kesihatan, gula-gula tenaga dan kopi pra-campuran.
Dr Noor Hisham berkata, tindakan undang-undang telah diambil ke atas pengeluar atau pengedar empat daripada 16 jenama produk makanan yang tidak mematuhi undang-undang itu.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.”
Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – Malaysiapost

