Undang-undang khusus kes hina mahkamah masih dalam kajian

0
3

Nurul Huda Abhar

[Parlimen]
Kerajaan masih tiada undang-undang khusus bagi menangani kes berkaitan dengan penghinaan mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata namun begitu kajian terperinci giat dijalankan dalam usaha mewujudkan undang-undang berkaitan.

Jabatan Peguam Negara, katanya, sedang menjalankan kajian dan membuat perbandingan dengan undang-undang negera luar seperti United Kingdom, India dan Singapura.

“Kerajaan telah meneliti hal ini sejak 2010. Pada 2013 satu deraf telah dirujuk pada pihak mahkamah, dan pada 2016 deraf Rang Undang-Undang telah berada dalam penggubalan Jabatan Peguam Negara.

“Setahun selepas itu berlaku pindaaan dalam Akta Hasutan, perkara yang melibatkan kes menghina mahkamah khususnya Seksyen 3(1)(C) Akta Hasutan.

“Oleh itu ia dikaji semula oleh pihak kerajaan untuk melengkap dan diselaraskan dengan pindaan yang dibuat.”
katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu memandangkan kajian undang-undang tersebut masih dalam penggubalan, mahkamah menggunakan Prinsip Common Law, sebagaimana diperuntukkan Akta Undang-Undang Sivil 1956 Sekysen 3.

Beliau yang menjawab soalan Datuk Liew Vui Kong (Warisan – Batu Sapi), memberitahu kes penghinaan mahkamah dikendalikan berdasarkan kuasa sedia ada.

“Tatacara yang diperuntukkan bagi kes penghinaan mahkamah sebagaimana di bawah Aturan 52, Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012,” katanya lagi.