Tunggakan gaji Mac pemain Lang Merah selesai sebelum 15 Ogos – Sanusi

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

Tunggakan gaji pemain Lang Merah bagi bulan Mac akan diselesaikan sebelum 15 Ogos ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, bagi tunggakan bulan April, Mei, Jun dan Julai akan dimaklumkan setelah rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat.

“Mesyuarat mengambil maklum mengenai tunggakan bayaran gaji pasukan serta caruman dan bayaran lain sehingga ke tarikh hari ini. Pihak pengurusan komited dan akan melunaskan tunggakan gaji secara berperingkat.

“Satu Jawatankuasa Khas Kewangan mengenai penyelesaian tunggakan empat bulan itu akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, berkata Mesyuarat Eksekutif KFA malam tadi, turut memutuskan untuk memperkemaskan kedudukan kewangan dengan memperkukuhkan penajaan dan mengemaskini status penajaan dengan penaja-penaja KFA musim 2020 yang sudah memberi komitmen musim ini.

Katanya, Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditubuhkan akan berfungsi untuk mendapatkan penaja baharu dengan berunding segera dengan bakal penaja.

“Semua fungsi ahli Jawatankasa Eksekutif diberi peranan lebih besar untuk memikul tanggungjawab mengurus dan meneroka kaedah membawa penajaan baharu.

“KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim 2020.

“Punca masalah dana penajaan tertunggak adalah perlaksanaan tanggungjawab secara ’one man show’ dalam penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan,” katanya.

Beliau memaklumkan tindakan drastik penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan adalah bagi mengatasi beban hutang sejak September 2019.

“Jumlah tunggakan KWSP dan LHDN setakat ini adalah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera,” katanya.

Sanusi dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Kehormat KFA.