Dewan Rakyat: Kehadiran Ahli Parlimen dihadkan 80 orang

0
3

Fitri Nizam

KEHADIRAN Ahli Parlimen sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat kali ini, termasuk pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, dihadkan kepada 80 orang sahaja pada satu-satu masa di dalam Dewan Rakyat.

Ini termasuk Ahli Parlimen yang akan berbahas dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Penetapan baharu itu dibuat berdasarkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta menepati syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, berdasarkan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat, ahli-ahlinya bersetuju dengan beberapa kaedah diputuskan sepanjang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 ini.

Beliau memaklumkan terdapat sembilan kaedah dipersetujui Ketua Whip daripada parti kerajaan mahu pun pembangkang, termasuk penentuan Ahli Yang Berhormat yang boleh berada dalam Dewan yang akan ditetapkan oleh parti masing-masing.

“Setiausaha Dewan Rakyat akan memberikan Kad Khas tersebut kepada Yang Berhormat Kota Baharu untuk selaraskan kehadiran di pihak Anggota Pentadbiran dan Ahli-ahli Backbenchers.

“Manakala, di pihak pembangkang Kad Khas ini akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran Ahli-ahli Pembangkang dan Bebas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Azhar lagi, proses pengundian belah bahagian, loceng akan dibunyikan selama dua minit diikuti penempohan selama 10 minit dan kemudian loceng dibunyikan selama dua 2 minit lagi sepertimana pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang lalu.

“Untuk proses ini, kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat dibenarkan untuk berada di dalam Dewan,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata bermula 9 November ini, persidangan Dewan Rakyat hanya akan bersidang dari jam 10 pagi hingga 2 petang sehingga 15 Disember depan.

“Perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selama lapan hari iaitu pada 9 hingga 12 November dan bersambung pada 16 hingga 19 November.

“Jawapan Menteri di peringkat Dasar kekal selama tiga hari iaitu pada 23 hingga 25 November.

“Selain itu, perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 11 hari iaitu 26 November hingga 3 Disember, 7 hingga 10 Disember, bersambung pada 14 dan 15 Disember,” katanya.

Beliau berkata, jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga ini boleh ditambah dua hari iaitu pada 16 dan 17 Disember sekiranya diperlukan.

Azhar memaklumkan bahawa langkah-langkah yang diambil ini adalah untuk tempoh sementara sahaja demi untuk mengimbangkan tanggungjawab Ahli Parlimen di Dewan kepentingan menjaga kesihatan masing-masing. – Malaysiapost