Nabil, Mark Adam sudah jumpa SPRM

0
2

PENGACARA Gegar Vaganza, Nabil Ahmad mengesahkan dia antara individu tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.

Menurut pelawak tersebut, dia dipanggil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

“Kes ini sudah selesai. Mereka tanya berkenaan pembukaan kedai minuman Bubble Bee di Seremban dan saya maklumkan ia belum beroperasi lagi.

“Selepas itu mereka terus tak tanya apa-apa lagi dan itu sahaja soalannya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Turut tampil memberi keterangan ialah penyanyi dan pelakon, Mark Adam, lapor Astro Gempak.

Perkara itu disahkan isteri yang juga pengurus Mark Adam, Norazah Redzuan atau Ezan yang memaklumkan pertemuan itu bukan diadakan di pejabat SPRM, sebaliknya di lokasi penggambaran.

“Mereka tanya sama ada terlibat ke tak dengan Bubble Bee. Kami cakap ada tetapi sebagai duta untuk Bubble Bee cawangan PKNS sahaja. Kami pun belum menerima sebarang bayaran atau menandatangani apa-apa perjanjian.

“Pertemuan itu tidak lama. SPRM tidak ada mengarahkan kami untuk pergi ke pejabat,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, lima lagi selebriti termasuk seorang wanita terdiri pelakon, penyanyi serta pengacara tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Ini bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian, dipercayai ada kaitan atau maklumat mengenai aktiviti ‘cuci duit’ didalangi Alvin Goh dan orang kanannya, Addy Kana. – Malaysiapost