Muhammad Mustakim Ramli
AHLI-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh moratorium nagi tempoh enam bulan lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap Perdana Menteri mempertimbangkan tempoh moratorium itu kepada sebahagian daripadanya untuk mereka yang berkelayakan di bawah kumpulan B40 dan M40.
“Kami juga minta pertimbangkan kelulusan untuk pengeluaran sejumlah wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat tertentu,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Zahid berkata, pertimbangan itu adalah hasil keputusan semua Ahli Parlimen BN seramai 43 orang yang bermesyuarat semalam dan hasilnya sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin melalui surat.
“Saya telah mengutus surat kepada Perdana Menteri bagi menzahirkan beberapa perkara berikut iaitu Ahli-Ahli Parlimen BN yang terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Rakyat bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat 6 November ini.
“Begitu juga dengan semua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan oleh kerajaan,” katanya.-Malaysiapost

