KERAJAAN mengambil pendekatan berbelanja secara berhemat terutama bagi perbelanjaan mengurus dan pada masa sama mengoptimumkan pendapatan daripada pelaburan serta syarikat milik kerajaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerajaan terpaksa berbuat demikian kerana menghadapi cabaran fiskal berikutan kejatuhan ketara pendapatan cukai bagi tahun 2020 dan 2021, akibat krisis pandemik Covid-19.
Kata beliau, harga minyak yang rendah juga turut menjejaskan pendapatan kerajaan.
“Bukan sahaja Malaysia, negara lain di seluruh dunia juga turut berhadapan masalah sama, tetapi sekiranya kita perlu berbelanja untuk membantu rakyat, kita harus mencari jalan untuk melakukannya,” kata seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata, matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan sumber mencukupi bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.
“Kita tidak mahu rakyat menderita,” kata Muhyiddin.
Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan membenarkan defisit fiskal meningkat ke paras 6.0 peratus bagi tahun 2020 demi membiayai perbelanjaan tambahan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 dan langkah pakej rangsangan ekonomi, PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN.
Kerajaan juga sudah menaikkan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada had statutori 55 peratus kepada 60 peratus sekarang, yang memberikan banyak ruang untuk kerajaan melaksanakan belanjawan pengembangan.
Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan, sebaik sahaja ekonomi kembali kukuh dan aliran pendapatan kerajaan semakin baik, kerajaan akan mengukuhkan disiplin fiskalnya. – Malaysiapost

