Muhammad Mustakim Ramli
SERI Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Kerajaan dapat memperhalusi dengan sebaik-baiknya cadangan yang dikemukakan bagi merangka Belanjawan yang bersifat inklusif dan komprehensif, serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan.
“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang terkesan akibat Covid-19.
“Sesungguhnya semangat sebegini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.
“Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara, 3 petang tadi.
Majlis menghadap selama 70 minit itu berkenaan penyediaan Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan pada 6 November ini. -Malaysiapost

