PKPB: Majikan diminta benarkan pelajar pratikal bercuti

0
3

Muhammad Mustakim Ramli 

MAJIKAN di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di zon merah yang mempunyai pelajar pratikal diminta memberi cuti kepada mereka. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini bagi menjamin keselamatan mereka kerana tidak dilindungi seperti pekerja tetap. 

“Pelajar pratikal bukan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetapi majikan mereka yang mempunyai kuasa untuk memberi mereka cuti. 

“Saya amat berharap memandangkan keadaan kurang selamat terutama di kawasan merah… saya memohon majikan membenarkan pelajar pratikal diberikan cuti.

“Mereka bukan pekerja tetap. Kita minta budi bicara majikan untuk beri pelepasan. Apabila keadaan semakin pulih pelajar ini boleh menyambung semula pratikal mereka,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pelajar praktikal di kawasan PKPB, di mana semua institusi pengajian tinggi ditutup.

Ditanya mengenai pekerja yang menyalahgunakan surat kebenaran dan pas pekerja, Ismail Sabri berkata majikan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. 

“Sekiranya majikan mengenalpasti ada pekerja yang bertindak sedemikian, mereka mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tata tertib,” katanya. – Malaysiapost