Aiman Hanif
AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berkumpul sekali lagi di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur petang ini.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tujuan pertemuan mengejut itu diadakan pada jam 3 petang ini.
“Petang ini ada satu pertemuan membabitkan kesemua ahli-ahli Parlimen BN.
“Tidak pasti apa agendanya, namun kita baharu dimaklumkan,” kata salah seorang Ahli Parlimen BN yang enggan namanya didedahkan.
Bagaimanapun katanya, pertemuan itu dijangka akan membincangkan mengenai Belanjawan 2021 yang bakal dibetangkan Jumaat ini.
Pada 26 Okt lalu, Ahli Parlimen BN telah berkumpul di ibu negara dikatakan bagi membincangkan hala tuju parti itu.
Selepas perbincangan itu, BN membuat keputusan mendokong keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak pengisytiharan darurat serta melakukan gencatan politik bagi memberi tumpuan kepada usaha menentang Covid-19.
Pertemuan itu juga mencetuskan kontroversi apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan parti itu supaya mempertimbangkan sokongan pada Anwar jika Perikatan Nasional (PN) gagal memenuhi syarat mereka.- Malaysiapost

