Pegawai bomba meninggal dunia kerana Covid-19, KPKT ucap takziah

0
1

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menzahirkan ucapan takziah atas pemergian seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akibat Covid-19, semalam.

Allahyarham Alias Abu yang bertugas di Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.15 pagi semalam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat JBPM Malaysia dan mendoakan ahli keluarganya tabah menghadapi ujian ini.

Katanya, pihaknya menghargai jasa Allahyarham yang selama ini tanpa mengenal erti penat dan lelah terbabit secara langsung dalam melakukan operasi sanitasi awam, dalam usaha negara mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya turut mendoakan sanak saudara, sahabat handai serta seluruh anggota JBPM supaya tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa ini.

“Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diberikan kebaikan atas amal yang soleh serta ditempatkan dalam kalangan syuhada, ” katanya dalam kenyataan.

Allahyarham Alias, 56, yang difahamkan mempunyai masalah jantung dan asma adalah antara 15 anggota bomba Sabah yang disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian saringan pada 16 Oktober lalu. -Malaysiapost