ERC sambut baik cadangan akta baharu pilihan raya, kekang Covid-19

0
3
PERAK 15-08-2019. The Electoral Reform Committee (ERC) chairman Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman delivering his speech at the ERC’s stakeholder engagement programme held at the Mentri Besar Residence here.MALAY MAIL/Farhan Najib

JAWATANKUASA Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) menyambutbaik kesediaan kerajaan mewujudkan akta tertentu bagi memperkasa pengurusan pilihan raya untuk mengekang penularan Covid-19.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata ERC berpandangan sudah tiba masa untuk satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum ditangguhkan semasa krisis.

“Ia termasuklah ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara.

“Bagi tujuan ini, satu peruntukan yang khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan perlu apabila berlaku apa-apa krisis yang memudaratkan negara, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ERC juga menyambut baik sekiranya ada usaha untuk memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semasa krisis kesihatan.

“ERC berpandangan beberapa peruntukan baharu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik yang boleh menghakis kebebasan, keadilan dan ketelusan.

“Ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya,” katanya.

Abdul Rashid berkata, dalam pilihan raya demokratik setiap calon dan parti wajar diberikan peluang seluas-luasnya untuk berkempen.

“Dan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan-peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka untuk menunaikan tanggungjawab secara adil dan bebas,” katanya.

Beliau berkata, kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa untuk menguruskan pilihan raya di mana badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila wujud kekosongan.

Bagaimanapun, katanya, tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya.

“Mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, SPR wajib mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.

“Oleh itu, sudah tiba masa peruntukan baharu iaitu memasukkan Artikel atau Subartikel baharu dalam Perlembagaan Persekutuan atau seksyen baharu dalam Akta Pilihan Raya 1954 disediakan bagi memperkasakan SPR yang diberi amanah untuk mengendalikan dan menguruskan pilihan raya di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam laporan ERC yang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, pada 27 Ogos lalu, sebagai salah satu penambahbaikan elemen kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi luar jangka.

“Dicadangkan agar SPR membangunkan garis panduan khusus berkaitan dengan pengurusan pilihan raya ketika kecemasan.

“Ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti malapetaka alam, rusuhan ataupun perintah berkurung seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (susulan wabak penyakit yang sukar diatasi dalam waktu yang singkat),” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, ERC bersedia untuk membantu Kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan peruntukan baharu berkaitan dengan keperluan menangguhkan pilihan raya semasa krisis.

“Ia sekali gus menjadikan sistem pengurusan pilihan raya di negara ini adalah yang lebih efektif dan adil,” katanya. -Malaysiapost